Tuesday, April 5, 2011

Wajib Lulus Bahasa Arab Untuk Masuk Ke Universiti Al-Azhar


Pelajar Malaysia yang mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang Pengajian Islam di Universiti Al-Azhar, Mesir, bakal disyaratkan wajib lulus Bahasa Arab yang dikendalikan oleh universiti itu sebelum layak diterima.
Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata universiti itu mahu melaksanakan syarat baru tersebut tahun ini tetapi kementerian telah memohon supaya pengurusan universiti Al-Azhar mengadakan kelas dan peperiksaan Bahasa Arab di Malaysia. Katanya syarat ini hanya dikenakan kepada pelajar Pengajian Islam sahaja.
"Al-Azhar mahu perkenal peperiksaan Bahasa Arab mengikut standard mereka. Aduan Universiti Al-Azhar ialah ramai pelajar Malaysia yang tidak datang ke kelas kerana tidak faham Bahasa Arab. "Oleh itu, mereka mengambil masa terlalu lama untuk belajar di Al-Azhar," katanya kepada wartawan selepas melancarkan Program Latihan 1Malaysia Peringkat Zon Sarawak 2011 di Kolej Komuniti Kuching, dekat sini hari ini.
Katanya Universiti Al-Azhar mahu mengenakan syarat tersebut kepada pelajar Malaysia kerana ramai pelajar yang mahu melanjutkan pengajian Islam di sana tidak fasih Bahasa Arab. Al-Azhar mempunyai hampir 7,000 pelajar Malaysia yang mana dua hingga tiga ribu pelajar yang tidak habis-habis pengajiannya, kata Mohamed Khaled.
Katanya kementerian itu mendapat tahu keadaan ini sewaktu melancarkan Ops Piramid menyelamatkan pelajar terkandas di Mesir berikutan pergolakan politik negara itu Februari lepas. "Sebagai sebuah institusi pengajian tinggi, mereka perlu maintain standard dan reputasi mereka. Tidak mungkin mereka dapat terima hakikat bila pelajar terpaksa mengambil masa 10, 12 atau 15 tahun untuk habiskan pengajian," katanya.
Menyentuh Program Latihan 1Malaysia yang dilancarkan awal tahun ini, Mohamed Khaled berkata seramai 21,397 orang telah mengikuti tiga bidang yang ditawarkan iaitu bahasa, muzik dan tarian serta bidang teknikal. Katanya daripada jumlah itu, hampir 6,600 adalah pelajar berumur 41 tahun manakala sebahagian besar daripada keseluruhan pelajar adalah wanita.
"Ini menunjukkan kerajaan sentiasa berusaha untuk menggalakkan supaya masyarakat meningkatkan ilmu pengetahuan," katanya. Selain Kolej Komuniti Kuching, empat lagi kolej komuniti di Sarawak ialah di Kolej Komuniti Mas Gading, Kolej Komuniti Cawangan Santubong, Kolej Komuniti Cawangan Betong dan Kolej Komuniti Miri.

No comments:

Post a Comment