Tuesday, June 28, 2011

Besok Isra’ Mikraj

Peristiwa Israa’ Mikraj merupakan antara peristiwa yang paling istimewa dan luar biasa dalam hidup Baginda s.a.w. Beliau telah menjadi undangan Allah s.w.t. Dari Makkah ke Baitul Maqdis, dan seterusnya ke Sidratul Muntaha, beliau telah dimuliakan dengan pertemuan langsung dengan Allah s.w.t, pada tempat yang mana malaikat sendiri tidak dapat hadir.

‘Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.’
Al-Isra’ : 1

Luka kehilangan Abi Talib dan Khadijah masih merah di hati, tatkala Rasulallah dengan penuh harapan memilih untuk berdakwah ke Thoif. Alangkah sedihnya hati tatkala menerima layanan yang tidak berperikemanusiaan oleh penduduk Thoif. Dalam pada itu, Rasulallah mengungkapkan kata-kata yang penuh bermakna;

‘Sekiranya engkau (wahai Allah) tidak murka kepadaku, maka aku tidak kisah.’

Betapa jelasnya Rasulallah s.a.w akan tugas yang dipikulnya. Beliau hanya penyampai dan Allah jualah pemberi hidayah. Para malaikat dan seluruh alam berkongsi kesedihan Rasulallah s.a.w, sehinggakan malaikat menawarkan untuk membinasakan penduduk Thoif.

Inilah suasana dimana berlakunya peristiwa Isra’ Mikraj. Tatkala muslimin bersedih dan tertanya-tanya adakah masih ada sinar harapan untuk dakwah ini.

Allah telah memilih masa yang paling sesuai untuk menyeru kekasih-Nya. Pertemuan dengan Allah s.w.t telah mengubati kesedihan Rasulallah s.a.w. dan memberi semangat baru kepada Baginda.

Umat Islam telah dihadiahkan dengan kewajipan solat. Kewajipan utama yang bakal menjadi rahsia perpaduan dan kekuatan ummat Islam. Betapa pentingnya solat sehinggakan Rasulallah s.a.w sendiri naik ke langit untuk menerimanya, dan bukan melalui perantaraan Jibril seperti kewajipan-kewajipan yang lain.

Peristiwa Isra’ Mikraj juga menjadi petanda bahawa Islam akan menerajui tampuk pemerintahan dunia satu masa nanti. Dengan menyebut Masjidilharam dalam ayat pertama surah Al-Isra’, Allah telah menjanjikan Makkah untuk muslimin, sedangkan Kaabah ketika itu dipenuhi berhala. Perjalanan Rasulallah s.a.w yang aman dari Makkah ke Palestin juga menjadi tanda bahwa Islam akan menguasai tanah diantara kedua-duanya.

Perjalanan Rasulallah s.a.w ke Baitul Maqdis menjadi petanda akan kepentingan dan ketuanan bumi Palestin kepada umat Islam. Bumi yang menjadi rebutan dan sentiasa bergelojak ini akan hanya aman apabila muslimin kembali memerintahnya.

No comments:

Post a Comment