Perintah Nafkah Anak Selepas Umur 18 Tahun:Satu Kajian


BAB SATU
PENDAHULUAN

     1.1  Latar Belakang Masalah
           
      Sistem kekeluargaan amat dipentingkan dalam Islam. Ini kerana terbentuknya sesuatu umat adalah bermula dari keluarga yang kecil. Kesejahteraan dan kekuatannya bergantun kepada kesejahteraan keluarga yang membentuk umat ini. Walaupun begitu, di  dalam kehidupan berumahtangga, kadangkala timbul juga perselisihan paham di antara suami isteri sehingga berakhirnya penceraian. Namun begitu, suami masih mempunyai tanggungjawab dari segi pembayaran nafkah terhadap anak-anak sebagaimana yang ditetapkan oleh syarak. 
                            
Persoalan yang membuatkan penulis berminat mengkaji masalah ialah ialah, apa yang berlaku terhadap anak-anak selepas bapa mengabaikan tentang pemberian nafkah yang wajib terhadap anak-anak. Mungkin kerana anak-anak zaman sekarang tidak mengetahui hak nafkah selepas berlakunya penceraian dalam sesuatu keluarga kerana ramai yang tidak mengetahui tentangnya dan cara-cara untuk menuntut selepas berumur 18 tahun.

Kebanyakan anak-anak yang berumur 18 tahun dan ke atas masih di bangku sekolah dan zaman Institusi Pengajian Tinggi, mereka memerlukan biaya yang banyak bagi menampung yuran pengajian dan sara hidup. Di samping itu juga, terdapat anak-anak kurang upaya (OKU).

Anak-anak ini mestilah tidak mampu bergerak aktif seperti manusia normal yang lain, ini menyebabkan bebanan terhadap anak-anak tersebut untuk hidup serta perlu berdikari sendiri untuk mendapatkan sesuatu. Ini menyebabkan berlakunya pelbagai masalah seperti masalah sosial dan kebanyakan anak-anak dihantar ke rumah Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pusat Pemulihan Akhlak akibat terabai. Bapa wajib memberikan nafkah terhadap anak-anak berumur selepas 18 tahun kerana mereka belum mempunyai akal yang matang sebelum mereka berkahwin. Kewajipan seorang bapa ialah memberikan tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan, dan pelajaran sebagaimana yang munasabah memandang kepada kemampuan dan taraf kehidupannya atau dengan membayar kosnya. 

Jikalau mahkamah telah menetapkan perintah bahawasanya nafkah itu wajib dibayar oleh bapa, seorang bapa tidak boleh menafikan atau mengingkari perintah mahkamah, terdapat juga segelintir para suami lari daripada tanggungjawab bagi mengelakan diri ari membayar nafkah. Jesteru itu, penulis berminat melakukan kajian dan penyelidikan di Mahkamah Rendah Syariah Kota Setar. Harapan penulis dengan kajian ini dapat membantu anak-anak mengetahui hak-hak selepas penceraian dan menyedarkan para suami tentang tanggungjawab mereka terhadap kewajipan menunaikan anak-anak selepas penceraian berumur 18 tahun.
   
1.2  Objektif Kajian

Sebelum memulakan penyelidikan untuk latihan ilmiah ini, penulis telah meletakkan beberapa objektif dalam memilih tajuk ini sebagai tajuk kajian dalam latihan ilmiah ini, antaranya:

1.2.1        Menghuraikan hak anak terhadap nafkah menurut syarak dan undang-undang.
1.2.2        Menjelaskan hak dan kewajipan seorang bapa memberi nafkah kepada anaknya selepas umur 18 tahun.
1.2.3        Mengenalpasti bagaimana cara anak-anak boleh menuntut nafkah daripada nafkah apabila bapa enggan memberikan nafkah.
1.2.4        Menganalisis kes-kes dan peruntukan di dalam Enakmen Keluarga Islam mengenai hak anak
1.2.5        Menerangkan penguatkuasaan atau proseder yang perlu dipatuhi oleh setiap anak apabila bapa ingkar memberi nafkah.

1.3      Hipotesis Kajian

1.3.1        Tidak banyak kes-kes yang terdapat di dalam tuntutan nafkah anak selepas umur 18 tahun.
1.3.2        Banyak bapa tidak mengetahui kewajipan memberi nafkah kepada anak-anak selepas berumur 18 tahun.
1.3.3        Keingkaran bapa menunaikan kewajipan nafkah terhadap anak-anak meningkat.

1.4 Skop Kajian

Dalam kajian latihan ilmiah ini, penulis hanya membincangkan beberapa skop tertentu supaya tidak bertentangan dengan matlamat asal penyelidikan ini iaitu membuat tinjaun di sekitar Alor Setar tentang perspektif masyarakat mengenai statistik penceraian yang berlaku di Malaysia serta kesedaran bapa untuk memberi nafkah terhadap anak-anak. Selain itu, dalam melaksanakan penyelidikan, sasaran yang diketengahkan ialah Mahkamah Rendah Syariah Kota Setar untuk mendapatkan statistik kajian kes daripada tahun 2007 sehingga 2010 serta pandangan mereka tentang isu nafkah anak selepas berumur 18 tahun. Seterusnya, kajian ini mengupas tentang faktor-faktor, kedan-kesan mengabaikan nafkah anak dan  syarat- syarat menurut Hukum Syara’ dan undang-undang Malaysia.

1.5 Metodologi Kajian
  
Metode kajian merupakan perkara yang penting dalam penyelidikan kerana ia menjadi penghubung kepada hasil yang bermutu tinggi. Ia menerangkan bagaiman cara untuk melakukan kajian dan penyelidikan terhadap permasalahan yang hendak dikaji sehingga dapat mencapai mencapai sasaran hasil kajian tesis yang baik. Di dalam penyelidikan, metode diperlukan bagi mencapai objektif dan penting untuk mendapatkan hasil yang berkualiti sesuatu penyelidikan. Oleh yang demikian, penulis telah menggunakan metode tertentu dalam penyelidikan ini.

Antara metode kajian yang digunakan penulis ialah:
1.5.1        Metode Penentuan Subjek
1.5.2        Metode Pengumpulan Data

1.5.1 Metode Penentuan Subjek

Metode penentuan subjek adalah metode utama kerana ianya memerlukan matlamat sebenar sesuatu kajian dijalankan. Dalam menentukan subjek, penulis menggunakan metode sampling untuk mendapatkan maklumat dan data yang releven dengan tajuk kajian. Oleh yang demikian, Mahkamah Rendah Syariah Kota Setar dan Pejabat Agama Daerah Kota Setar telah dipilih sebagai subjek kajian berkaitan perintah nafkah anak selepas umur 18 tahun.

1.5.2 Metode Pengumpulan Data

Pengumpulan data ialah merupakan tahap menjalankan penyelidikan, melakukan pemerhatian dan mencatatkannya. Data boleh diambil dari kaedah-kaedah tertentu. Peringkat ini melibatkan pemilihan teknik-teknik penyelidikan yang berpandu kepada matlamat penyelidikan.

Dalam penulisan latihan ilmiah ini, metode pengumpulan data digunakan untuk mengumpul dan mendapatkan data dan informasi yang sesuai dan selaras dengan tajuk kajian ini. Kajian ini sangat penting dalam menyiapkan kajian dalam latihan ilmiah ini. Antara metode yang digunakan di bawah kaedah ini ialah:

                    i.            Metode Penyelidikan Perpustakaan

Kaedah penggunaan metode penyelidikan perpustakaan merupakan metode yang paling penting untuk mendapatkan data dan maklumat yang diperlukan. Kajian banyak menggunakan metode ini dalam bab satu dan dua di mana banyak menghuraikan definisi, konsep, hukum, dan lain-lain. Oleh yang demikian, pengkaji telah menjalankan beberapa penyelidikan di beberapa buah perpustakaan antaranaya Perpustakaan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Perpustakaan Awan Negeri Kedah, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Perpustakaan Tun Sri Lanang (UKM), Perpustakaan Awam Islam di Kuala Lumpur dan Perpustakaan Awam Selangor. Data-data diperolehi daripada buku-buku, surat khabar, kamus serta majalah.

                  ii.            Metode Dokumentasi

Metode dokumentasi ialah kaedah pengumpulan maklumat atau data terhadap dokumen-dokumen yang berkaitan untuk menyelesaiakan sesuatu masalah. Segala maklumat yang diperolehi daripada dokumen yang berkaitan, membolehkan pengkaji menjelaskan tentang latar belakang masalah. Metode ini merupakan salah satu cara untuk melakukan kajian berdasarkan fakta-fakta dan maklumat yang terkandung dalam dokumen yang berkaitan dengan subjek kajian. Dokumen yang digunakan oleh pengkaji adalah AL-Quran, tafsir Al-Quran , hadith, buku, keratan akhbar, latihan ilmiah, fail-fail kes yang berkaitan, jurnal hukum, kamus dan majalah. Metode dokumentasi digunakan dalam semua bab dalam latihan ilmiah ini.

                iii.            Metode Temubual

Metode temubual boleh didefinisikan sebagai satu metode yang digunakan secara lisan yang diperolehi daripada responden. Metode temubual merupakan kaedah yang digunakan kepada subjek dan pengkaji untuk memperolehi maklumat. Penulis telah melaksanakan satu jenis temubual iaitu temubual berarah.

1) Temubual Berarah  

Di dalam metode temubual berarah ini, penulis telah merangka dan menyenaraikan soalan terlebih dahulu. Ini bagi memudahkan penulis dalam membuat sesi temubual bersama responden.
Metode ini penulis gunakan bagi menemuramah Pendaftar dan Penolong Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Kota Setar dan Mahkamah Rendah  Syariah Kota Setar untuk mendapatkan data yang lebih tepat berkenaan nafkah anak selepas penceraian berumur 18 tahun,faktor-faktor suami enggan memberi nafkah kepada anak dan sebagainya.
 
                iv.            Metode Analisis Data

      Metode ini secara amnya digunakan di dalam bab dua dan tiga. Ia bertujuan untuk menganalisis data-data yang telah dikaji. Setiap data yang diperolehi mestilah menjalani proses penganalisis bagi mementukan kesahihannya. Antara metode yang digunakan ialah metode induktif, deduktif dan komparatif.


                  v.            Metode Induktif

Metode induktif ini ialah suatu proses analisis yang bertujuan untuk mencari bukti daripada maklumat yang bersifat khusus bagi mendapatkan bukti yang umum. Penganalisis ini dibuat hasil daripada temubual dan bacaan buku-buku yang berkaitan dengan kajian bagi memperkukuhkan lagi persoalan yang timbul.

                vi.              Metode Deduktif

Metode deduktif ialah suatu proses mencari bukti daripada maklumat yang umum bagi mendapatkan bukti yang khusus. Ia adalah suatu proses penganalisis untuk membuat kesimpulan yang khusus. Ia juga digunakan dalam bab tiga dan sebagai bukti kepada hipotesis yang dinyatakan terhadap kajian.

              vii.            Metode Komparatif

      Metode komparatif bertujuan untuk membuat kesimpulan daripada data-data yang diperolehi kemudian perbandingan dilakukan antara data-data tersebut. Metode komparatif dilakukan berdasarkan daripada hasil perbandingan fakta yang diperolehi. Ia digunakan dalam bab dua untuk membandingkan pandangan fuqahak tentang pemberian dan hak nafkah selepas penceraian kepada anak yang berumur lapan belas tahun.


BAB DUA
KONSEP PERINTAH NAFKAH ANAK MENURUT SYARAK DAN
UNDANG-UNDANG

2.1 Pendahuluan

Anak-anak ialah penyambung kehidupan ummah. Ibu bapa bertanggungjawab untuk menyediakan keperluan harian anak-anak mereka iaitu nafkah. Maksud nafkah di sini ialah hak keperluan untuk meneruskan kehidupan seperti hak untuk mendapat makanan, pakaian, dan tempat tinggal dan juga termasuklah perkhidmatan yang lain seperti ubat, kenderaan dan sebagainya..[1]

Nafkah adalah merupakan hak bagi orang yang dalam tanggungan seperti isteri dan anak-anak. Tanggungjawab menunaikan nafkah ini tidak berubah atau berpindah disebabkan oleh sesuatu keadaan sebagai contoh sekalipun isteri itu orang kaya raya suami tetap diwajibkan menunaikan tanggungjawab ini. Menurut Al-Quran, Hadis dan juga pendapat ulama nafkah adalah wajib. Dalam Islam, tanggungjawab memberi nafkah kepada anak-anak adalah wajib ke atas bapa.

2.2 Definisi Nafkah Anak
2.2.1 Menurut Syarak

Dari segi bahasa, nafkah ialah mengeluarkan dan membelanjakan.[2] Menurut istilah ahli fiqah nafkah ialah mengeluarkan belanja atau nafkah kepada mereka yang wajib atas seorang itu mengeluarkannya seperti bapa menyediakan makanan, minuman dan pakaian untuk anak-anaknya. Ia termasuklah semua hajat yang dan keperluan seharian seperti makanan, pakaian, tempat tinggal, ubat-ubatan dan sebagainya.

Di dalam kitab Al-Ahwal al-Syaksiyyah ada menyebut antaranya anak-anak mempunyai tiga hak utama, iaitu hak dipelihara, hak ke atas dirinya yang tertanggung ke atas walinya dan hak untuk memiliki harta.[3]

2.2.2 Menurut Undang-Undang

Seksyen 73 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Kedah Darul Aman) 2008 memperuntukkan bahawa:

“Seseorang lelaki diwajibkan menanggung nafkah anaknya dengan mengadakan tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan, dan pelajaran sebagaimana yang munasabah berdasarkan kemampuan dan taraf kehidupannya atau dengan membayar kosnya.”[4]

2.3 Kewajipan Menanggung Nafkah Anak

2.3.1 Dalil Wajib Nafkah Anak

Seperti yang telah diterangkan, tanggungjawab bapa mengeluarkan nafkah kepada anak berdasarkan dalil Al-Quran,

Firman Allah s.w.t: 

Maksudnya:
“Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun genap, iaitu bagi yang hendak menyempurnakan penyusuan itu, dan kewajiban bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara sepatutunya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah seorang itu ibu menderita kerana anaknya dan (jangan juga menjadikan) seorang bapa menderita kerana anaknya; dan waris juga menaggung kewajipan tersebut (jika bapa tiada). Kemudian jika keduanya (suami isteri) mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, atas mereka berdua tidaklah salah (melakukannya). Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu serahkan (upah) yang kamu berikan itu dengan cara yang patut.  

Al-Baqarah (2) : 233

Maksudnya:
Tempatkanlah isteri-isteri yang menjalani iddahnya itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu; dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka di tempat tinggal tinggal itu dengan tujuan hendak menyusahkan kedudukan mereka. Dan jika mereka berkeadaan sedang mengandung maka berikanlah  kepada mereka nafkahnya sehingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya.

Surah Al-Talak (65):6

Dalil dari Hadis:

Sabda Rasulullah s.a.w:
عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ: دَخَلَتْ هِنْدٌ بِنْتُ عُتْبَةَ امرَأَةُ اَبِي سُفْيَانَ عَلَى رَسُوْلِ اللهِ صَلَى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَمَ فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ الله, اِنَ اَبَا سُفْيَانَ رَجُلٌ شَحِيْحٌ لآ يُعْطِيْنِيْ مِنَ النَفَقَةِ مَا يَكْفِيْنِيْ وَيَكْفِيْ بَنِيَ, اِلآ مَا اَخَذَتْ مِنْ مَاِلهِ بِغَيْرِ عِلْمِهِ, فَهَلْ عَلَى فِيْ ذَلِكَ مِنْ جُنَاحٌ؟ فَقَالَ(خُذِيْ مِنْ مَاِلهِ بِالْمَعْرُوْفِ مَا يَكْفِيْكِ وَيَكْفِيْ بَنِيْكَ) مُتَفَقٌ عَلَيْهِ[5]

Maksudya:
Dari ‘Aisyah, katanya: Hindun puteri ‘Uthbah yang menjadi isteri Abu Sufyan, datang kepada Rasulullah SAW kemudian ia berkata. “Wahai Rasulullah, sesungguhnya Abu Sufyan itu seorang lelaki yang kikir, ia tidak memberiku nafkah yang cukup bagi diriku dan anak-anakku, sehingga aku harus mengambil hartanya tanpa pengetahuannya. Adakah aku boleh melakukan hal tersebut?”Nabi bersabda:”Ambillah dengan cara baik dari hartanya itu sekadar mencukupi diri dan mencukupi anakmu.
(Riwayat Bukhari Dan Muslim)

Para ulama telah bersepakat berdasarkan dalil Al-Quran dan Hadis di atas dengan menyatakan bahawa nafkah anak wajib ditunaikan oleh bapa[6]. Dari dalil di atas juga, keempat-empat mazhab iaitu Mazhab Maliki, Shafie’, Hanafi dan Hanbali telah bersependapat bahawa bapa adalah orang paling utama berkewajipan menanggung nafkah anak. Tetapi yang timbul perselisihan sekiranya bapanya tidak ada atau tidak berkeupayaan. Bagaimanapun ini tidak menjejaskan hak anak-anak. Bagi Mazhab Malik kewajipan menanggung nafkah terus menjadi tanggungjawab Baitulmal atau pemerintah sekiranya bapa tidak ada atau sebagainya. Selain itu, menurut peruntukan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Kedah Darul Aman) 2008 seksyen 73 (1) menjelaskan tentang kewajipan seseorang lelaki untuk menanggung nafkah anak-anakyna, sama ada mereka berada dalam jagaannya atau jagaan mana-mana orang lain. Perkataan “lelaki” yang dicatat dalam seksyen ini membuktikan bahawa bukanlah wanita yang berkewajipan menanggung nafkah anak-anak itu tidak semestinya semata-mata seorang bapa malahan termasuk datuk, bapa saudara atau kerabat lelaki terdekat.[7]

2.3.1 Anak Kandung

Anak kandung ialah anak yang sah taraf bagi kedua-dua ibu bapanya. Sah taraf bermaksud anak yag lahir hasil daripada perkahwinan yang sah antara kedua-dua ibu ibu bapanya, atau anak yang lahir dalam jangka masa yang diiktiraf oleh hukum syarak bagi perkahwinan yang telah terbubar atau kematian bapanya.[8]

Seseorang anak yang sah taraf berhak mendapat saraan hidup atau nafkah, hak perwalian diri dan harta dan sabitan kebapaan daripada bapanya. Jika kedua-dua ibu dan bapanya meninggal dunia maka dia berhak mewarisi harta peninggalan ibu dan bapanya. Jika kedua-dua ibu bapanya masih bersama, maka urusan pengasuhan dan mendidik dari segi ilmu dan tingkah laku serta membimbing dalam kehidupannya deikendalikan bersama oleh kedua-dua ibu dan bapanya.

2.3.2 Anak Angkat
2.3.2.1 Menurut Syarak

Pengangkatan (tabanni) dalam erti katanya yang sebenar ialah menjadikan anak orang lain sebagai anaknya sendiri. Anak tersebut akan mempunyai status yang sama dari segi hubungan darah dan kekeluargaan serta hak-hak yang dikongsi bersama dengan anak kandung sama ada daripada segi hak jagaan dan penjagaan, hak nafah, pewarisan harta pusaka, keturunan (nasab) dan sebagainya. Walaubagaimanapun, pengangkatan dalam situasi ini adalah haram dan dilarang dalam undang-undang Islam.[9]

2.3.2.1 Menurut Undang-Undang

Tiada peruntukan khas mengenai pengangkatan dalam enakmen negeri-negeri di Malaysia. Walau bagaimanapun, terdapat satu peruntukan mengenai kewajipan menanggung nafkah anak-anak yang diterima sebagai ahli keluarga, yang tidak langsung boleh dipakai bagi kewajipan bapa angkat untuk memberikan nafkah kepada anak angkat. Seksyen 79 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Kedah Darul Aman) 2008 memperuntukan:

Jika seseorang lelaki telah menerima seseorang kanak-kanak yang bukan anaknya sebagai ahli keluarganya, maka adalah menjadi kewajipannya menanggung nafkah kanak-kanak itu, setakat mana bapa dan ibu kanak-kanak itu tidak berbuat demikian.[10]

Peruntukan ini seolah-olah meletakkan tanggungjawab untuk menanggung nafkah anak angkat yang telah diterima sebagai ahli keluarga ke atas ketua (bapa) keluarga tersebut. Sungguhpun hanya terhad kepada tanggungjawab untuk memberikan nafkah, kerana tiada peruntukan lain, seperti tanggungjawab menjaga anak tersebut., bolehlah disimpulkan bahawa seorang ayah angkat boleh menerima anak angkat sebagai salah seorang ahli keluarganya adalah bertanggungjawab ke atas kanak-kanak tersebut.

Walau bagaimanapun, undang-undang yang mentadbir pengangkatan seorang anak bagi masyarakat Islam pada mas sekarang ini adalah Akta Pendaftran Pengangkatan 1952 (selepas ini akan dirujuk sebagai APP) mungkin kerana wujudnya Akta ini yang terpakai kepada orang-orang Islam di Malaysia, dirasakan tidak perlu lagi peruntukan berkenaan penangkatan diletakkan di bawah enakmen negeri-negeri.

2.3.3 Anak Tak Sah Taraf
2.3.3.1 Menurut Syarak

Anak tidak sah taraf bermaksud anak yang lahir hasil pasangan tidak menikah. Anak tersebut juga bukan anak yang lahir daripada perhubungan kelamin salah sangka (watui’ shuhbah)[11]. Anak tak sah taraf tidak terputus nasab dengan ibu kandungnya. Malahan kedua-dua pihak boleh saling mewarisi.[12] Kesahtarafan seseorang anak itu berkaitan rapat dengan keturunan (nasab) anak tersebut. Walau bagaimanapun, hanya keturunan sebelah bapa sahaja yang diiktiraf dalam Undang-Undang Islam dalam menentukan kesahtarafan seorang anak yang tidak mempunyai bapa yang sah dan diiktiraf oleh hukum syarak dan dikira kesahtarafannya dan anak inilah yang diistilahkan sebagai anak di luar nikah atau anak tak sah taraf.

2.3.3.2 Menurut Undang-Undang

Di Malaysia, undang-undang yang mentadbir kesahtarafan anak ialah Undang-Undang Islam di bawah enakmen negeri-negeri. Di Kedah contohnya, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam  (Kedah Darul Aman) 2008  mentakrifkan nasab sebagai keturunan yang berasaskan pertalian darah yang sah. Istilah yang digunakan bagi anak yang tidak mempunyai nasab atau hubungan darah yang sah adalah anak tak sah taraf. Di dalam Enakmen Keluarga Islam Kedah menyebut:
“Tak sah taraf berhubungan dengan seseorang anak, ertinya dilahirkan di luar nikah dan bukan daripada persetubuhan syubhah”.[13]

Bagi tujuan menentukan kesahtarafan seseorang anak, Enakmen Undang- Undang Keluarga Islam memperuntukkan untuk menentukan kesahtarafan seseorang anak. Enakmen tersebut menyebut:

Jika seseorang perempuan yang berkahwin dengan seseorang lelaki melahirkan anak lebih daripada enam bulan Qamariah daripada tarikh perkahwinannya itu atau dalam masa empat tahun Qamariah selepas perkahwinannya itu dibubarkan sama ada oleh sebab perceraian, dan perempuan itu pula tidak lagi berkahwin semula, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu

Anak tak sah taraf ditakrifkan sebagai seseorang anak yang dilahirkan di luar niikah. Anak tersebut sama ada akibat daripada pebuatan zina atau anak yang dilahirkan kurang enam bulan dari tarikh akad nikah dan dia anak yang bukan daripada perserubuhan syubhah. Berkenaan dengan nafkah dan saraan hidup anak tak sah taraf ia menjadi tanggungjawab ke atas ibunya. Hal ini demikian kerana anak tak sah taraf dinasabkan kepada ibunya dan tidak kepada lelaki yang menyetubuhi ibunya.

Ini berseusaian dengan hukum syarak yang menyatakan seseorang lelaki tidak boleh dihubunhkaitkan dengan seseorang kanak-kanak melainkan kerana perkahwinan yang sah dan pernikahan fasid. Juga kerana persutubuhan syubhah apabila diakui oleh lelaki tersebut bahawa anak-anak tersebut adalah keturunannya terhasil daripada perbuatan syubhah. Jester itu, menurut hukum syarak nafkah anak-anak yang tidak sah taraf tidak boeh diwajibkan kepada seseorang laki-laki walaupun pada segi lahirnya anak-anak tersebut adalah anaknya kerana ia tidak mempunyai asas untuk dipertanggungjawabkan kepadanya.

Seksyen 81 EnakmenUndang-Undang Keluarga Islam Kedah 2008 menyatakan jika seseorang perempuan cuai atau enggan menaggung nafkah seseorang anaknya yang tak sah taraf yang tidak berupaya menanggung nafkah dirinya, malainkan seorang anakyang dilahirkan akibat rogol, Mahkamah boleh, apabila hal itu dibuktikan dengan sewajarny, memerintahkan perempuan itu memberikan apa-apa elaun bulanan yang difikirkan munasabah oleh Mahkamah

2.4 Kadar Nafkah Anak
2.4.1 Menurut Syarak

Kadar belanja yang diwajibkan itu hendaklah sekadar keperluan dan hajat menurut keadaan dan kekuasaan orang yang berkewajipan itu.

Firman Allah s.w.t:

Maksudnya:
“ Hendaklah orang yang berkemampuan memberi nafkah menurut kemampuannya. Dan orang yang telah ditetapkan ke atasnya rezekinya, maka hendaklah ia mengeluarkan belanja(nafkah) berdasarkan apa yang telah dikurniakan oleh Allah SWT. Tidak dibebankan oleh Allah seseorang itu melainkan setakat apa yang diberikan oleh Allah kepadanya. Nescaya Allah akan menjadikan sesudah kesempitan itu kelapangan.
Al- Talak (66):7

Berkaitan dengan kadar nafkah yang sepatutnya dibayar oleh bapa, Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam kitabnya al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu menyatakan para fuqaha bersependapat bahawa sesungguhnya nafkah kerabat daripada anak, dan anak kepada anak (cucu) ditetapakan dengan kadar yang mencukupi merangkumi roti dan bahan-bahan pelengkap bagi makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal dan penyusuan jika ia sedang menyusu. Ia adalah mengikut kemampuan pembiaya dan kebiasaan setempat kerana ia diwajibkan dengan sebab keperluan.[14]

2.4.2 Menurut Undang-Undang

Seksyen 73 (1) Enakmen Undang- Undang Keluarga Islam Negeri Kedah menyebut adalah menjadi kewajipan seseorang lelaki menanggung nafkah anaknya sebagaimana yang munasabah memandang kepada kemampuan dan taraf kehidupannya atau dengan membayar kosnya.[15]

Ukuran untuk menentukan kadar nafkah anak mengikut seksyen di atas adalah mengikut ukuran munasabah berdasarkan kemampuan dan taraf kehidupan bapa. Dengan kata lain, jika bapa seorang yang miskin atau sederhana, maka kadar yang boleh dituntut hendaklah meliputi makan minum, pakaian, tempat tinggal, persekolahan dan perubatan yang sekadar sahaja kecualilah jika bapa itu orang yang kaya.

Dalam kes Hasanah binti Abdullah lwn Ali bin Muda mahkamah telah menentukan kadar nafkah anak berdasarkan kos pengawasan, pakaian, makanan, perubatan dan persekolahan serta keupayaan yang kena tuntut ialah RM300.00 sebulan. Mahkamah berpendapat yang nilaian tersebut adalah patut dan munasabah.

Dirumuskan di sini berkenaan dengan kadar nafkah ia boleh ditentukan oleh pihak plaintif atau defenden beberapa banyak bayaran nafkah anak yang munasabah setelah mengambil kira dasar-dasar dalam penentuan kadar nafkah dan pada masa yang sama hendaklah dikemukakan hujah-hujah yang menyokong jumlah tersebut. Jika gagal berbuat demikian, maka mahkamahlah akan menentukan sendiri jumlah sesuatu nafkah itu.

Seksyen 77 EUUKI [16]menjelaskan Mahkamah boleh, atas permohanan seseorang yang ada mempunyai kepentingan, pada bila-bila masa dan dari semasa ke semasa mengubah, atau boleh pada bila-bila masa membatalkan sesuatu perintah tentang penjagaan atau nafkah seseorang anak, jika mahkamah berpuas hati bahawa perintah itu telah diasaskan atas sesuatu salah pernyataan atau kesilapan fakta atau jika sesuatu perubahan matan telah berlaku tentang hal berkenaan.

Berdasarkan peruntukan tersebut mahkamah akan memerintahkan satu bayaran nafkah yang munasabah mengkut kemampuan dan taraf kehidupan si bapa.


2.5 Tempoh Nafkah Anak
2.5.1 Menurut Syarak

Seorang bapa mengikut kemampuannya bertanggungjawab terhadap nafkah anak-anaknya. Secara umumnya nafkah anak lelaki sehingga dia mencapai umur baligh dan nafkah anak perempuan sehingga dia berumah tangga. Tanggungjawab memberikan nafkah kepada anak-anak adalah tidak bersyarat dan mutlak. Oleh itu, wajib ke atas bapa memberikan nafkah anak-anaknya disebabkan pertalian darah antara mereka. Kewajipan ini tertakluk pada syarat-syarat berikut:

a)      Anak itu belum boleh berdikari. Bagi anak perempuan sehingga dia berkahwin atau sehingga dia ada pekerjaan.
b)      Anak itu miskin tidak mempunyai harta sendiri untuk menafkahkannya.
c)      Bapa itu mampu memberi nafkah. Jika bapa tidak mampu memberi nafkah hak itu berpindah kepada keluarga lelaki sebelah bapa mengikut hukum syarak.

Syarat wajib ke atas bapa memberikan nafkah seperti yang telah disebutkan tadi hendaklah apabila si anak itu masih kecil dan miskin atau sudah besar tetapi tidak berupaya untuk berusaha, sebagai contoh cacat anggota atau miskin. Jika anak tersebut sudah besar atau baligh dan berkuasa untuk berusaha maka tidak wajib atas bapa memberikan nafkah kepadanya kecuali jika dia masih menuntut ilmu.[17]

Manakala jika anak itu seorang perempuan, menurut mazhab Syafie’ dan Maliki nafkahnya wajib ke atas bapa sehingga anak perempuan itu bersuami. Adapun mengikut mazhab Hanafi dan Hambali tidak wajib tidak wajib ke atas bapa memberikan nafkah kepada anak perempuan yang sudah besar dan boleh berusaha sendiri.[18] Sehubungan dengan ini, mungkin mazhab Hanafi dan Hambali dalam perkara ini lebih sesuai dengan keadaan semasa, iaitu kebanyakan anak perempuan masa kini, walaupun masih belum bersuami, telah mampu mempunyai pekerjaan yang dapat menampung kehidupan mereka sendiri. Oleh itu, pergantungan bapa menaggung nafkah anak perempuan sudah tidak timbul lagi.

2.5.2 Menurut Undang-Undang

Perintah nafkah anak- anak hendaklah luput atau tamat apabila anak itu mencapai umur 18 tahun kecuali jika salah satu perkara yang berikut belaku:

        i.            Apabila suatu perintah nafkah anak itu dinyatakan lebih singkat atau awal daripada itu.
      ii.            Apabila mana-mana perintah tersebut dibatalkan.
    iii.            Apabila suatu perintah itu dibuat kepada seorang anak perempuan yang belum berkahwin atau atas sebab-sebab ketakupayaan fikiran atau fizikal tidak mampu menanggung dirinya. Bagi seseorang anak lelaki pula, atas alasan ketakupayaan mental atau fizikal yang mana ia tidak mampu menanggung dirinya.[19]

Menurut Enakmen Undang Undang Keluarga Islam (Kedah Darul Aman) 2008 memperuntukan antara lain berbunyi:

“ Perintah itu hendaklah tamat apabila anak itu mencapai umur baligh, dengan syarat mahkamah boleh, atas permohonan anak itu atau seorang lain, melanjutkan perintah nafkah itu supaya meliputi apa-apa tempoh tambahan yang difikirkan munasabah bagi membolehkan anak itu mengikuti pelajaran lebih tinggi atau lebih lanjut.[20]

Ini bererti bahawa seorang anak lelaki yang belum berkahwin, sihat dan berupaya menyara diri sendiri, bukanlah menjadi tanggungan ke atas si bapa. Walau bagaimanapun mahkamah boleh atas permohonan oleh anak atau mana-mana orang lain, untuk melanjutkan perintah nafkah kepada suatu tempoh akan datang sebagaimana yang ia fikirkan munasabah bagi membolehkan anak itu melanjutkan atau meningkatkan pelajarannya atau latihannya.

Lagipun, sesuatu perintah nafkah yang dibuat bagi faedah seseorang anak perempuan yang belum berkahwin atau oleh sebab hilang upaya dari segi akal atau jasmani, tidak berkebolehan menanggung nafkah dirinya, atau seseorang anak lelaki yang oleh sebab sesuatu hilang upaya dari segi akal atau jasmani, tidak berkkebolehan menanggung nafkah dirinya, tidaklah tamat apabila anak itu mencapai umur 18 tahun. Boleh dikatakan dalam peruntukan-peruntukan dalam akta sekarang jauh lebih banyak memberi perhatian dan kebajikan anak-anak daripada peruntukan-peruntukan di bawah undang-undang dahulu.[21]

Dalam kes Jinah lwn Abdul Aziz, hakim besar berpendapat memandangkan dua anak yang terlibat telah berumur masing-masing 17 tahun dan 20 tahun, tuntutan bagi nafkah mereka tidak boleh dibuat kerana seksyen 74 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2008 adalah jelas menunjukkan tuntutan untuk mendapatkan nafkah kedua-dua anak itu daripada bapa mereka tidak dapat dipertimbangkan oleh Mahkamah.[22] Bawah Enakmen tersebut umur maksima kanak-kanak yang berhak ditanggung ialah 15 tahun.

2.6 Hak Anak Terhadap Nafkah Tertunggak

Berkenaan dengan nafkah anak tertunggak, seksyen 78 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Kedah Darul Aman) 2008 menyatakan ia boleh dituntut sebagai suatu hutang daripada pihak yang mungkir itu, iaitu bapa.

Terdapat beberapa hujah yang sering digunakan oleh Hakim dalam mengadili kes nafkah anak tertunggak, antaranya:

a)      Kitab al-Fiqhl al-Islami wa Adillatuhu karangan Wahbah al-Zuhaili, halaman 829 yang bermaksud, “Nafka anak tidak menjadi hutang melainkan dengan difardukan oleh Qadi (perintah Mahkamah)
b)      Kitab al-Fiqh ‘Ala al-Madhahib Al-Arba’ah oleh Abdul Rahman al-Jaziri yang berkata, “Dan apabila sesuatu nafkah menjadi luput dan terkumpul ianya tidak dikira menjadi hutang kecuali setelah qadi sendiri menetapkan nafkah itu atau ia memberi izin kepada yang menerima nafkah untuk berhutang.

Oleh itu, nafkah anak dikira sebagai hutang jika ia tidak dijelaskan bapa setelah diperintahkan oleh mahkamah. Jika tiada perintah nafkah yang dikeluarkan oleh mahkamah maka ia tidak boleh dituntut sebagai hutang atau nafkah tertunggak.[23]

2.7 Kesimpulan

Secara kesimpulannya, seorang bapa haruslah sedar bahawa dirinya merupakan pemimpin dalam rumahtangga dan seseorang pemimpin hanya akan menjadi pemimpin sekiranya ada yang dipimpin.

Isu kelalaian dan kecuaian bapa dalam pemberian nafkah kepada anaknya atau sengaja mengabaikannya hanya berlaku dalam masyarakat yang tidak mementingkan nilai kasih sayang dan tidak bertanggungjawab di dalam menunaikan kewajipannya. Oleh sebab itu, tuntutan dan penepatan nafkah anak yang diatur dalam Islam amat sempurna, rasional dan wajar dipatuhi.
 


[1] Dr. Siti Zulaikha Mohd Nor.1989.  Perlindungan Kanak-Kanak Di Dalam Islam Perlaksanaanya Menurut Undang-Undang Di Malaysia.Nurin Enterprise. Kuala Lumpur.Hlm.45.
[2] Al-Shirbini, Al-Khatib & Sheikh Muhammad.2001.Mughni al-Muhtaj.J.3.Beirut:Dar al-Fikr.Hlm. 542.
[3] Abu Zahrah & Muhammad. 2001. Al-Ahwal al-Syaksiyyah.Beirut:Dar al-Fik al-Arabi.Hlm.405.
[4] Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Kedah Darul Aman) 2008
[5] Muhammad bin Ismail al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Anbiya’, Bab Nafaqah wal roqiq wa bahaim,.No.Hadis 1168.
[6] Abdur Rahman I.Doi.2003.Undang-Undang Syariah.Terj.Rohani Abdul Rahim.Kuala Lumpur.Hlm.266.
[7] Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Kedah Darul Aman) 2008
[8] Siti Zulaika Md.Nor.2008. Anakku Anakmu (Siri Undang-Undang dan Masyarakat).Kuala Lumpur.DBP.Hlm. 4.
[9] Azizah Mohd. 2007. Siri Perkembangan Undang-undang Di Malaysia Undang-Undang Keluarga (Islam). J.14.Pengangkatan dan Pemeliharaan Anak.Cet 1.Kuala Lumpur.Dewan Bahasa Dan Pustaka. Hlm.298.
[10] Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Kedah Darul Aman) 2008
[11] Ibid.
[12] Siti Zulaika Md.Nor.2008. Anakku Anakmu (Siri Undang-Undang dan Masyarakat).Kuala Lumpur. DBP.Hlm.25.
[13] Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Kedah Darul Aman) 2008
[14] Wahbah Al-Zuhaili.2001.Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuhu.J.7. Terj. Syed Ahmad Syed Hussain. Kuala Lumpur:DBP.
[15] Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Kedah Darul Aman) 2008
[16] Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Kedah 2008
[17] Ibnu Qudamah, Muhammad Abdullah bin Ahmad. 1997. Al-Mughi, J.3.Beirut:Dar al-Fikr.Hlm.158.
[18] Ibid
[19] Nora Abdul Hak. 2007. Siri Perkembangan Undang-undang Di Malaysia Undang-Undang Keluarga (Islam). J.14.Jaminan Nafkah Kanak-Kanak.Cet 1.Kuala Lumpur.Dewan Bahasa Dan Pustaka. Hlm.270.
[20] Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Kedah Darul Aman) 2008
[21] Nik Noriani Nik Badli Shah. 1992. Undang-Undang Keluarga Islam Nafkah dan Hak-Hak Kewangan Lain .Kuala Lumpur.Dewan Bahasa Dan Pustaka.Hlm17.
[22] Ibid.
[23] Nora Abdul Hak. 2007. Siri Perkembangan Undang-undang Di Malaysia Undang-Undang Keluarga (Islam). J.14.Jaminan Nafkah Kanak-kanak.Cet 1.Kuala Lumpur.Dewan Bahasa Dan Pustaka. Hlm.271.

BAB KETIGA
ANALISIS KES NAFKAH ANAK

3.1 Pendahuluan

Islam telah menetapkan bahawa tanggung jawab menyediakan nafkah diserahkan kepada bapa. Hal ini bersesuaian dengan fitrah bapa sebagai lelaki yang mempunyai beberapa kelebihan berbanding dengan wanita.  Ini adalah kewajipan dan tanggungjawab bapa. Sekiranya nafkah terhadap anak tidak dibayar semasa dalam tempoh yang sepatutnya, ianya akan menjadi suatu hutang yang tertanggung ke atas bapa untuk menjelaskannya.

Oleh sebab itu, bapa yang sihat dan waras adalah wajib menunaikan tanggungjawab ini dengan sempurna dan tidak boleh dikecualikan sama sekali. Ia harus berusaha bersungguh-sungguh supaya anaknya mendapat nafkah iaitu makan, minum, tempat tinggal, pakaian dan termasuk juga perbelanjaan perubatan, dan seumpamanya.

Perlu difahami bahawa nafkah yang diterima oleh anak adalah sebagai hak. Dengan erti kata lain anak-anak berhak meminta sekiranya tidak diberi oleh bapa. Penulis berpendapat bahawa perlaksanaan tanggungjawab oleh bapa tentang nafkah akan mendatangkan keharmonian dan keberkatan dalam kehidupan kerana ia akan memberi nilai kepada anak bahawa bapanya seorang yang bertanggungjawab.[1]

3.2 Peruntukan Undang-Undang Mengenai Perintah Nafkah Anak di Kedah

Terdapat beberapa peruntukan mengenai perintah nafkah anak yang terkandung dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam negeri Kedah 2008.

Peruntukan mengenai kewajipan menanggung nafkah anak yang mana ianya termaktub dalam seksyen 73 (1) yang menyatakan:

Kecuali jika sesuatu perjanjian atau sesuatu perintah Mahkamah memperuntukkan selainnya, maka adalah menjadi kewajipan seseorang lelaki menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan seseorang lain, sama ada dengan mengadakan bagi mereka tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan dan pelajaran sebagaimana yang munasabah memandang kepada kemampuan dan taraf kehidupannya atau dengan membayar kosnya.

(2) Kecuali seperti tersebut di atas, adalah menjadi kewajipan seseorang yang bertanggungan di bawah Hukum Syarak, supaya menanggung nafkah atau memberi sumbangan kepada nafkah kanak-kanak jika bapa kanak-kanak itu telah mati atau tempat di mana bapanya berada tidak diketahui atau jika dan setakat mana bapanya tidak berupaya menanggung nafkah mereka.[2]

Selain itu, terdapat juga peruntukkan mengenai kuasa mahkamah dalam memerintahkan nafkah bagi anak-anak. Ianya termaktub dalam seksyen 74 (1) yang menyatakan:

Mahkamah boleh pada bila-bila masa memerintahkan seorang lelaki membayar nafkah untuk faedah mana-mana anaknya:

(a) jika dia telah enggan atau cuai mengadakan peruntukan dengan munasabah bagi anaknya itu;
(b) jika dia telah meninggalkan langsung isterinya dan anaknya itu adalah dalam jagaan isterinya;
(c) dalam masa menanti keputusan sesuatu prosiding hal-ehwal suami isteri;
(d) apabila membuat atau selepas daripada membuat suatu perintah meletakkan anak itu dalam jagaan seseorang lain; atau
(e) apabila memberi kebenaran kepada lelaki itu untuk berpoligami di bawah    seksyen23.
(2) Mahkamah adalah juga berkuasa memerintahkan seseorang yang bertanggungan di bawah Hukum Syarak supaya membayar atau memberi sumbangan terhadap nafkah seseorang anak jika Mahkamah berpuas hati bahawa memandang kepada kemampuannya adalah munasabah bagi Mahkamah memerintahkan sedemikian.
(3) Sesuatu perintah di bawah subseksyen (1) atau (2) boleh mengarahkan supaya pembayaran dibuat kepada orang yang menjaga atau memelihara dan mengawal anak itu atau kepada pemegang-pemegang amanah bagi anak itu.

Manakala dalam seksyen 75 (1) pula menyatakan kuasa bagi mahkamah memerintahkan cagaran bagi nafkah seseorang anak yang mana memperuntukkan:

Mahkamah boleh, apabila memerintah pembayaran nafkah untuk faedah seseorang anak, memerintahkan orang yang bertanggungan membayar nafkah itu supaya memberi cagaran bagi kesemua atau sebahagian daripadanya dengan meletak hak apa-apa harta pada pemegang-pemegang amanah dengan amanah supaya membayar nafkah itu atau sebahagiannya daripada pendapatan harta itu.
(2) Kegagalan mematuhi perintah menghendaki orang yang bertanggungan membayar nafkah itu meletakhak apa-apa harta pada pemegang amanah bagi maksud subseksyen (1) boleh dikenakan hukuman sebagai suatu penghinaan terhadap Mahkamah.
Di samping itu, dinyatakan juga di dalam seksyen 67 memperuntukkan mengenai kuasa bagi mahkamah mengubah perintah nafkah seseorang anak yang mana dinyatakan:

Mahkamah boleh pada bila-bila masa dan dari semasa ke semasa mengubah, atau boleh pada bila-bila masa membatalkan, sesuatu perintah nafkah yang masih berkuat kuasa, sama ada bercagar atau tidak bercagar, atas permohonan orang yang berhak menerima atau yang kena membayar nafkah itu menurut perintah yang telah dibuat itu, jika Mahkamah berpuas hati, bahawa perintah itu telah diasaskan atas sesuatu salah pernyataan atau kesilapan fakta atau jika sesuatu perubahan matan telah berlaku tentang hal keadaan.

Perlu diketahui bahawa nafkah anak yang tertunggak juga boleh dituntut berdasarkan kepada peruntukkan seksyen 78 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Kedah (Darul Aman) 2008. Bagi kanak-kanak yang diteriman sebagai ahli keluarga, mereka juga tidak terkecuali dari menerima nafkah. Hal ini ada diperuntukkan dalam seksyen 79 (1) yang menyatakan:

Jika seseorang lelaki telah menerima seseorang kanak-kanak yang bukan anaknya sebagai seorang ahli keluarganya, maka adalah menjadi kewajipannya menanggung nafkah kanak-kanak itu semasa dia masih seorang kanak-kanak, setakat mana bapa dan ibu kanak-kanak itu tidak berbuat demikian, dan Mahkamah boleh membuat apa-apa perintah yang perlu bagi memastikan kebajikan kanak-kanak itu.
(2) Kewajipan yang ditanggungkan oleh subseksyen (1) hendaklah terhenti jika kanak-kanak itu diambil balik oleh bapa atau ibunya.
(3) Apa-apa wang yang dibelanjakan oleh seseorang lelaki pada menanggung nafkah seseorang kanak-kanak sebagaimana dikehendaki oleh subseksyen (1) boleh dituntut daripada bapa atau ibu kanak-kanak itu.[3]

Manakala lamanya tempoh perintah nafkah anak juga turut dinyatakan dalam seksyen 80 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Kedah (Darul Aman) 2008. Seksyen 80 memperuntukkan:

Kecuali-

(1) jika sesuatu perintah mengenai nafkah seseorang anak dinyata sebagai selama tempoh yang lebih singkat;
(2) jika sesuatu perintah itu telah dibatalkan; atau
(3) jika sesuatu perintah itu dibuat untuk:
(a) seseorang anak perempuan yang belum berkahwin atau yang, oleh sebab sesuatu hilangupaya dari segi otak atau jasmani, tidak berkebolehan menanggung nafkah dirinya; atau
(b) seorang anak lelaki yang, oleh sebab sesuatu hilangupaya dari segi otak atau jasmani, tidak berkebolehan menanggung nafkah dirinya,

Perintah nafkah hendaklah tamat apabila anak itu mencapai umur lapan belas tahun, tetapi Mahkamah boleh atas permohonan oleh anak itu atau oleh seseorang lain, melanjutkan perintah nafkah itu supaya meliputi apa-apa tempoh tambahan yang difikirkannya munasabah, bagi membolehkan anak itu mengikuti pelajaran atau latihan lanjut atau lebih tinggi.

Seksyen 81 (1) dan (2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Kedah (Darul Aman) pula memperuntukkan mengenai kewajipan menaggung nafkah anak-anak tak sah taraf yang mana:

Jika seseorang perempuan cuai atau enggan menanggung nafkah seseorang anaknya yang tak sahtaraf yang tidak berupaya menanggung nafkah dirinya, melainkan seorang anak yang dilahirkan akibat rogol, Mahkamah boleh, apabila hal itu dibuktikan dengan sewajarnya, memerintahkan perempuan itu memberi apa-apa elaun bulanan yang difikirkan munasabah oleh Mahkamah.

(2) Elaun bulanan di bawah seksyen ini hendaklah kena dibayar dari tarikh bermulanya kecuaian atau keengganan menanggung nafkah itu atau dari sesuatu tarikh yang kemudian mengikut sebagaimana yang dinyatakan dalam perintah itu.


3.3.Prosedur Tuntutan Nafkah Anak

Sebelum membuat sebarang tuntutan nafkah anak, maka seseorang hendaklah terlebih dahulu membuat serta mengemukakan penyata tuntutan nafkah anak yang hendak dituntut dan dikepilkan bersama-sama dengan dokumen yang berkenaan sebelum membuat permohonan pendaftaran kes di Mahkamah Syariah. Selepas menerima sesuatu permohonan mengenai kes tuntutan nafkah anak. Selepas itu, Mahkamah akan mengeluarkan satu saman kepada pihak defenden bersama satu salinan permohonan yang telah dibuat oleh pemohon, dan saman itu hendaklah mengarahkan pihak defenden hadir di hadapan Mahkamah untuk membolehkan Mahkamah menjalankan perbicaraan mengenai tuntutan tersebut.[4]

Sekiranya pihak defenden menghadirkan diri seperti yang diperintahkan oleh Mahkamah, maka prosiding tuntutan nafkah boleh dimulakan dan berjalan seperti biasa tetapi jika sekiranya pihak defenden tidak menghadiri diri ke Mahkamah seperti mana yang diarahkan, maka Mahkamah boleh mengeluarkan suatu amaran supaya hadir di Mahkamah dan seterusnya satu waran tangkap akan dikeluarkan jika amaran tersebut tidak diendahkan. Sebarang tuntutan nafkah anak hanya akan dibicarakan selepas pihak defenden membayar denda yang dikenakan pada waran tangkap sebagai ikat jamin. Seterusnya, barulah tuntutan nafkah anak akan dibicarakan di Mahkamah Syariah. Sekiranya pihak plaintif dan defenden bersetuju di atas sesuatu kadar yang ditetapkan oleh Mahkamah setelah melihat dan mengukur kepada kemampuan pihak defenden, maka pihak Mahkamah akan mengeluarkan suatu arahan menuntut pihak defenden agar menunaikan nafkah anak tersebut. Sekiranya pihak defenden masih ingkar menunaikan nafkah anak itu selepas Mahkamah mengeluarkan arahan maka, pihak plaintif boleh membuat tuntutan menguatkuasakan permohonan nafkah anak tersebut. Menurut Enakmen Aturcara Mal Islam 1979 Negeri Kedah, seksyen 7 (1) ada menjelaskan bahawa cara memulakan prosiding mal adalah tertakluk pada subseksyen (2) atau mana-mana undang-undang bertulis lain, yang mana tiap-tiap prosiding mal di Mahkamah hendaklah dimulakan melalui saman.

Seksyen 7 (2) pula menjelaskan bahawa semua prosiding yang berkenaan mana-mana perkara yang telah dinyatakan dalam Jadual Kedua[5] hendaklah dimulakan melalui permohonan.

Ini bermaksud, kedua-dua perkara iaitu saman dan permohonan adalah penting kerana ia telah dinyatakan dalam undang-undang. Mana-mana individu yang melanggar peraturan yang telah ditetapkan, maka permohonan mereka akan terbatal.

3.3.1 Bentuk Saman

Di dalam seksyen 25 EAMI menyebut bahawa tiap-tiap saman yang dikeluarkan hendaklah dalam Borang MS 2 dan seksyen 25 (1) pula menjelaskan saman mestilah disertakan bersama dengan suatu pernyataan tuntutan yang hendaklah mematuhi kehendak seksyen 53.[6]


Antara perkara yang disebut dalam seksyen 53 ialah, tiap-tiap pernyataan mestilah ditandatangani oleh plaintif dan Peguam Syarie. Pernyataan tuntutan tersebut mestilah mengandungi suatu pernyataan yang ringkas lagi padat, perenggan-perenggan bernombor, tentang fakta-fakta yang dijadikan sandaran oleh pihak plaintif dan menunjukkan kuasa tindakannya (cause of action) termasuk butir-butir mengenai apa-apa sifat khas yang dipohon, butir-butir tuntutan yang mencukupi serta suatu pernyataan tentang relief yang dituntut.[7] Jika lebih dari satu kuasa tindakan dijadikan sandaran, alasan setiap satu tindakan dan relief yang dituntut berdasarkan kuasa itu hendaklah dinyatakan secara berasingan.

3.3.2 Salinan Saman

Menurut seksyen 26 EAMI Kedah pula menyebut bahawa tiap-tiap saman yang dikeluarkan terhadap seorang defenden hendaklah dikemukakan untuk difailkan dalam tiga salinan dan satu salinan tambahan pula hendaklah dikemukakan bagi tiap-tiap defenden tambahan.[8]

3.3.3 Pengeluaran dan Penyampaian

Menurut seksyen 27 EAMI Kedah menyebut bahawa, pendaftar hendaklah memeriksa saman terlebih dahulu untuk memastikan sempurna bentuknya dan juga untuk memastikan plaintif telah membayar fee yang ditetapkan, termasuk fee bagi penyampaian jika penyampaian oleh mahkamah diperlukan. Jika pendaftar berpendapat saman itu tidak lengkap dan sempurna, dia boleh menolaknya dan mengarahkan supaya saman itu dipinda.

3.3.4 Masa Penyampaian

Menurut seksyen 28 EAMI Kedah menyebut bahawa maksud bagi penyampaian adalah setiap saman hendaklah sah selama dua belas bulan bermula tarikh pengeluarannya. Jika saman tersebut belum lagi disampaikan dalam tempoh dinyatakan, suatu permohonan boleh dibuat pada Mahkamah untuk melanjutkan tempoh kesahan saman sebelum tarikh habis tempoh saman itu sebagaimana yang dibenarkan oleh Mahkamah. Mahkamah boleh melanjutkan tempoh itu selagi tarikh yang ditetapkan itu tamat tempoh.[9]

3.3.5 Kehilangan Saman

Menurut seksyen 29 EAMI Kedah menyebut bahawa jika berlaku kehilangan saman setelah ia dikeluarkan, Mahkamah boleh memerintahkan supaya dikeluarkan saman yang baru yang mengandungi tarikh dan mempunyai kesan yang sama seperti saman yang asal dahulu.

3.4       Statistik Kes-Kes Perintah Nafkah Anak di Kedah bagi tahun 2007-2010

Berikut merupakan jadual yang berkaitan dengan kes perintah nafkah anak tahun 2007-2010.

Jadual 1: Penyata Pecahan Kes Perintah Nafkah Anak Bagi Tahun 2007-2010.

Tahun
Seksyen
Bilangan
2007
Sek. 74/78/80
41
2008
Sek. 74/78/80
39
2009
Sek. 74/78/80
89
2010
Sek. 74/78/80
36
                                                                               
Sumber: Fail Mahkamah Rendah Syariah

Daripada jadual (1) dapat dilihat statistik kes mulai tahun 2007 hingga 2010. Pada tahun 2007 ialah sebanyak 41 kes dan kemudianya menurun kepada 39 kes sahaja pada tahun 2008. Manakala pada tahun 2009, didapati kes nafkah anak meningkat begitu ketara sekali iaitu sebanyak 89 kes berbanding dengan tahun 2010 iaitu sebanyak 36 kes sahaja yang didaftarkan di MRS Kota Setar Kedah.[10]
Jadual 2 : Statistik Pecahan Kes Mal Sek. 74, 78, dan 80 di MRS Kota Setar

Tahun
Seksyen
Bilangan


2007
Sek. 74
40
Sek. 78
0
Sek. 80
1

2008
Sek. 74
39
Sek. 78
0
Sek. 80
0

2009
Sek.74
88
Sek. 78
0
Sek. 80
1

2010
Sek.74
33
Sek .78
2
Sek. 80
1
Sumber: Fail Mahkamah Rendah Syariah Kota Setar
Jadual (2) pula, memperincikan lagi bilangan-bilangan kes mengikut seksyen. Jadual (2) mengklasifikasikan kes-kes mengikut seksyen itu pada tahun 2007 empat puluh kes, selain itu pada tahun 2008 sebanyak tiga puluh kes, catatan kes paling tertinggi pada tahun 2009 iaitu sebanyak lapan puluh lapan kes, manakala pada tahun 2010 sebayak tiga puluh tiga kes bagi seksyen 74 iaitu tuntutan nafkah anak. Selain itu, tidak ada kes bagi seksyen 78 pada tahun 2007-2009 , berlainan pula pada tahun 2010 terdapat dua kes iaitu tuntutan tunggakan nafkah. Manakala pada tahun 2007 dan 2010 hanya ada satu kes sahaja iaitu bagi seksyen 80 iaitu permohonan atau tuntutan membatalkan perintah nafkah anak. Kadar kes perintah nafkah anak dapat dilakarkan seperti berikut:

Graf 1: Kadar Kes Nafkah Anak dari Tahun 2007-2010

Daripada data-data di atas dapatlah disimpulkan kadar kes bagi seksyen 80 adalah minimum berbanding dengan seksyen 74 di MRS Kota Setar. Ini disebabkan kebanyakan anak-anak tidak mengetahui bahawa hak mereka tentang tuntutan nafkah selepas umur 18 tahun kerana bagi mereka, umur tersebut sudah dewasa untuk mencari nafkah untuk diri sendiri. Selain itu, kebanyakannya tidak mengetahui mengenai peruntukkan di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam mengenai hak-hak mereka apabila terjadinya sesuatu perkara seperti tertakluk di dalam seksyen 80.[11]

Meningkatnya tahap pendidikan di kalangan penduduk di Negeri Kedah sepatutnya boleh menjadi benteng daripada terjadinya tidak mengetahui hak nafkah selepas anak umur 18 tahun tetapi keadaan sebaliknya telah berlaku.

3.5       Contoh Kes-Kes Perintah Nafkah Anak Selepas Umur 18 Tahun

Kebanyakan kes-kes perintah perintah nafkah yang berlaku di Kedah adalah tergolong dalam salah satu kes yang agak rumit untuk diselesaikan di peringkat Mahkamah Syariah. Ini kerana kurangnya kerjasama dari pihak bapa sebelum dan semasa prosiding tuntutan nafkah anak dijalankan.

Dalam kes di Kedah, Che Asmah lwn Jamaludin,[12] pihak menuntut dan pihak kena tuntut telah berkahwin pada 19 Disember 1985 di Perak dan bercerai pada 8 November 2006 dan mempunyai dua orang anak hasil perkahwinan tersebut. Pihak yang menuntut adalah bekas isteri kepada menuntut yang tinggal di Taman Sri Menanti Jalan Gangsa Alor Setar manakala yang kena tuntut adalah bekas suami kepada yang menuntut yang tinggal di d/a Padi Beras Nasional Bhd Jalan Kodiang Jitra Kedah. Selepas bercerai, anak-anak berada di bawah jagaan pihak menuntut. Pihak kena tuntut memang bertanggungjawab membayar nafkah anak tetapi tidak mencukupi memandangkan anak pertama telah mencapai usia 18 tahun.

Selepas bercerai, yang kena tuntut memberi nafkah untuk dua orang anaknya berjumlah RM 300.00 untuk anaknya yang kedua dan RM 400.00 untuk anak yang pertama. Pihak kena tuntut telah menghadapi kesukaran dari segi kewangan dari segi kewangan akibat anaknya yang sulong telah mencapai umur 18 tahun dan melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi. Oleh yang demikian, yang menuntut telah memohon kepada Mahkamah memerintahkan pihak kena tuntut menaikkan nafkah daripada RM 400.00 kepada RM 1000.00 setiap bulan kepada anak yang sulong sehingga anak tersebut boleh berdikari.

Kes ditetapakan untuk keputusan tuntutan nafkah anak di bawah seksyen 61 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2008. Plaintif dalam kes ini menuntut:

  1. Nafkah anak bernama Mohd Azmiel bin Jamaludin pada kadar RM1000.00 sebulan.
  2. Perbelanjaan hari raya anak tersebut sebanyak RM500.00
  3. Perbelanjaan awal persekolahan anak tersebut sebanyak RM500.00

Setelah Mahkamah meneliti keterangan-keterangan dan hujahan yag difailkan, Mahkamah berpendapat tuntutan perbelanjaan bulanan pada kadar RM1000.00 sebulan adalah terlalu tinggi. Selain itu, Defenden tidak berkemampuan memenuhi tuntutan Plaintif berdasarkan pendapatan bulanan Defenden dan juga liabiliti Defenden. Defenden sudah beristeri lain dan mempunyai seorang anak serta menanggung perbelanjaan seorang lagi anak Plaintif dan Defenden.
Mahkamah menasihati Plaintif agar berbelanja dengan jimat dan cermat. Memang nafkah anak tersebut adalah tanggungjawab Defenden tetapi kemampuan defenden mesti diambil kira sehingga tidak menzalimi Defenden dan hingga terabai pula tanggungjawab Defenden terhadap orang lain. Manakala perbelanjaan hari raya, Mahkamah berpendapat Defenden menyediakan satu sut sahaja pakaian hari raya. Sekiranya ada lebihan pendapatan, terserahlah kepada defenden untuk menyediakan lebihan sut pakaian raya. Manakala perbelanjaan awal persekolahan, Mahkamah berpendapat Defenden adalah berkewajipan menyediakan sekurang-kurangnya dua pasang lengkap pakaian sekolah, alat-alat tulis dan yuran persekolahan.

Oleh itu, Mahkamah hanya meluluskan tuntutan nafkah anak seperti berikut:

i)        Nafkah harian anak tersebut pada kadar RM10.00 sehari × 30 hari berjumlah RM300.00 sebulan.
ii)      RM150.00 sebulan untuk keperluan peribadi dan keperluan bulanan persekolahan tambahan.
iii)    Perbelanjaan hari raya sebanyak RM150.00 ke atas nilaian sut lengkap
iv)    Perbelanjaan awal persekolahan sebanyak RM500.00 adalah berpatutan. Namun, Mahkamah berpendapat tuntutan ini berkuatkuasa sepanjang anak tersebut dalam peringkat sekolah menengah. Sekiranya anak tersebut anak tersebut menyambung ke peringkat pengajian tinggi, tuntutan baru hendaklah difailkan kerana keperluan adalah tidak sama.

Mahkamah memerintahkan Defenden, Jamaludin bin Ahamad membayar nafkah anak bernama Mohd Azmiel bin Jamaludin sebanyak RM450.00 sebulan pada tiap-tiap bulan berkuatkuasa pada bulan Januari 2010 hingga satu perintah lain dikeluarkan. Mahkamah juga hukum fardhu dan perintah defenden menaggung perbelanjaan hari raya anak tersebut sebanyak RM150.00 setahun yang dibayar semasa hari raya aidilfitri pada tiap-tiap tahun hinggan satu perintah lain dikeluarkan.

Mahkamah juga hukum fardhu dan perintah Defenden menanggung perbelanjaan awal persekolahan anak tersebut sebanyak RM500.00 setahun pada tiap-tiap tahun bermula sesi persekolahan 2010 hingga anak tersebut tamat pengajian di peringkat sekolah menengah yang dibayar sekurang-kurangnya seminggu sebelum sesi persekolahan bermula. Pembayaran nafkah anak tersebut sebanyak RM450.00 sebulan hendakalah dibayar secara potongan gaji Defenden dan dimasukkan ke dalam akaun bank atas nama Plaintif, Che Asmah binti Mustafa pada atau sebelum 30hb pada tiap-tiap bulan. Perbelanjaan perbelanjaan hari raya dan awal persekolahan hendaklah dibayar terus oleh Defenden ke dalam akaun bank Plaintif. Perintah ini menurut peruntukan seksyen 61 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Kedah 2008.

Dalam kes Marina lwn Mohamad Munir,[13] plaintif dan defenden telah berkahwin pada 30 September 2010 dan bercerai secara Talak Khulu pada 5 Jun 2001 di Pejabat Kadi Daerah Kota Setar. Hasil perkahwinan dari palintif dan defenden dikurniakan dua orang anak masing-masing berusia lapan belas tahun dan lima belas tahun semasa tuntutan nafkah tersebut dibuat. Selepas bercerai, kedua-dua anak tinggal bersama plaintif. Defenden juga telah gagal menyediakan peruntukkan nafkah yang mencukupi terhadap anak-anak tersebut.

Pihak plaintif menjelaskan bahawa anak-anak sangat memerlukan belanja harian terutama belanja pengajian kerana kedua-dua anak masih belajar dan masih memerlukan pergantungan kepada orang lain berkaitan dengan perbelanjaan memandangkan anak masih belum berdikari.  

Seterusnya, plaintif memohon kepada Mahkamah  perintah sara nafkah anak-anak tersebut sebanyak RM 1000.00 sebulan seorang merujuk Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Kedah Seksyen 73.

Mahkamah memerintahkan pihak Defenden Mohamad Munir bin Tuan Al-Haj Md Shuid membayar sara nafkah anak iaitu Natasha Irna Amirah dan Muhammad Amirul Al-Muqminin yang berada di bawah jagaan pihak Plaintif Marina binti Musa sebanyak RM250.00 bagi setiap seorang berjumlah sebanyak RM500.00 sebulan.

Mahkamah juga perintahkan pihak defenden membayar sara nafkah bagi setiap anak sebanyak RM300.00 bagi perbelanjaan Hari Raya Aidil Fitri manakala perbelanjaan persekolahan setiap awal tahun sebanyak RM300.00 bagi setiap anak. 

Pembayaran ini hendaklah dibuat secara tunai kepada pihak plaintif mulai bulan Mei 2010 dan kehadapan. Mahkamah merekodkan perintah ini dibuat atas persetujuan bersama antara kedua pihak dalam kes ini.

3.6       Ulasan atau Analisis Kes Perintah Terhadap Nafkah Anak

Terdapat banyak permasalahan dalam perkara nafkah ini yang memerlukan penyelesian, antara masalah yang timbul ialah ada bapa yang dikatakan langsung tidak membayar nafkah anak, contohnya kes perintah nafkah ditarik balik oleh Mahkamah apabila bapa mendakwa yang dia tidak mampu membayar nafkah tersebut dan perintah itu pula tidak digantikan dengan perintah yang lain. Dalam keadaan tertentu, ibu yang mendapat jagaan anak terpaksa membuka fail baru untuk membuat tuntutan nafkah anak. Ini menyusahkan ibu kerana terpaksa turun naik ke Mahkamah dan kadang-kadang memakan masa yang agak panjang. Tuntutan nafkah anak yang tertangguh di Mahkanah dengan begitu lama dan disebabkan lambatnya proses perbicaraan menyebabkan ibu tidak lagi mengambil kisah untuk menuruskan tuntutannya.

Selain itu, terdapat juga keadaan walalupun bapa membayar nafkah anak, jumlah itu dikatakan tidak mencukupi kerana tidak mendapat jumlah yang berpatutan untuk nafkah anak-anak. Mahkamah kebiasaannya hanya meluluskan jumlah nafkah yang dicadangkan oleh bapa tanpa cuba campur tangan untuk menjaga kebajikan anak. Wang nafkah yang ditetapkan oleh Mahkamah terlalu sedikit dan tidak mencukupi untuk pembiayaan anak, dan jumlah yang dibenarkan terlalu rendah berbanding dengan jumlah yang dituntut oleh ibu.

Penguatkuasaan perintah nafkah dikatakan suatu masalah besar apabila bapa tidak bertanggungjawab dalam membuat pembayaran nafkah anak. Ada kes walaupun hakim menambah jumlah nafkah anak, malangnya penguatkuasaannya tidak tegas dan bapa ingkar kepada perintah Mahkamah. Terdapat kemusykilan mengapa tindakan tidak diambil walaupun ibu walaupun ibu membuat aduan yang bapa tidak membayar nafkah. Penguatkuasaan tunggakan nafkah anak tidak jelas walaupun bapa telah banyak kali tidak membayar nafkah anak bertahun-tahun. Pihak ibu pula terpaksa bersusah payah berulang-alik ke Mahkamah untuk proses penguatkuasaan. Walaupun waran tangkap dikeluarkan, bapa pernah dapat melepaskan diri dengan membuat bayaran nafkah separuh sahaja.

Menurut Syarak seperti yang diutarakan oleh Imam Syafie bahawa kewajipan menunaikan nafkah bukan sahaja menjadi tanggungjawab bapa, malah datuk dan hierarki ke atas seterusnya turut bertanggungjawab sekiranya bapa tidak ada atau tidak keupayaan.

Selain bapa, bawah seksyen 61 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Kedah menyatakan, mahkamah boleh memerintahkan seseorang yang bertanggungan bawah hukum syarak menanggung nafkah anak-anak atau memberi sumbangan nafkah anak-anak. Ini sekiranya bapa berada dalam keadaan yang berikut:

a)      Bapa kanak-kanak telah mati; atau
b)      Tempat bapanya berada tidak diketahui; atau
c)      Jika dan setakat mana bapanya tidak berupaya menanggung nafkah mereka.

Daripada peruntukan di atas, mahkamah boleh memerintahkan seseorang lain menanggung nafkah anak-anak itu sekiranya bapa tersebut berada dalam keadaan yang disebutkan tadi. Peruntukan ini walau bagaimanapun tidak menerangkan siapakah yang dimaksudkan dengan orang lain. Seharusnya peruntukan ini dipinda untuk menjelaskan siapakah yang dimaksudkan dengan seorang yang bertanggungan bawah hukum syarak kerana terdapat perbezaan pendapat kalangan mazhab berkenaan dengan orang yang akan bertanggungjawab memberikan nafkah anak-anak jika sekiranya bapa tidak berkemampuan atau sudah meninggal dunia.

Seksyen 74 menyebut lima keadaan yang mana Mahkamah Syariah mempunyai kuasa untuk memerintahkan seseorang lelaki membayar nafkah iaitu:

(a) jika dia telah enggan atau cuai mengadakan peruntukan dengan munasabah bagi anaknya itu;
(b) jika dia telah meninggalkan langsung isterinya dan anaknya itu adalah dalam jagaan isterinya;

(c) dalam masa menanti keputusan sesuatu prosiding hal-ehwal suami isteri;
(d) apabila membuat atau selepas daripada membuat suatu perintah meletakkan anak itu dalam jagaan seseorang lain; atau
(e) apabila memberi kebenaran kepada lelaki itu untuk berpoligami di bawah seksyen 23.   

Walaupun diperuntukan bahawa seseorang bapa berkewajipan menanggung nafkah anaknya tetapi dia tidak terkecuali daripada menanggung nafkah anaknya sekiranya terdapat persetujuan lain yang mengecualikannya daripada menaggung ataupun kerana terdapat perintah daripada mahkamah.

Selain itu, khidmat guaman untuk pembelaan diri yang memerlukan bayaran didapati bahawa ramai para wanita tidak mampu membayar yuran peguam dan juga terdapat perbezaan besar di antara yuran yang dikenakan oleh peguam-peguam kerana bayaran tidak ditetapkan di antara satu peguam dan peguam yang lain. Biasanya apa yang berlaku apabila kes cuba dikemukakan di mahkamah ialah pihak isteri akan menghadapi masalah dalam pembayaran fee guaman, kerana isteri kurang mampu dan bayaran yang dikenakan agak tinggi dan membebankan. Ini berpunca kerana:

i)        Tiada peraturan dan tidak ada badan yang menetapkan bayaran yuran yang disyorkan.
ii)      Tiada skala ditetapkan untuk menentukan jumlah bayaran yang berpatutan dengan kemampuan para wanita.
Akibat daripada kurang kemampuan pihak isteri untuk memperolehi khidmat peguam, dan kekurangan kakitangan Biro Bantuan Guaman, ada di antara isteri yang membela diri sendiri di mahkamah. Pihak hakim mendapati hal ini melengahkan lagi proses perbicaraan kerana para wanita itu kurang memahami sepenuhnya bahawa undang-undang, kurang berpengetahuan mengenai prosedur mahkamah dan ini biasanya mengakibatkan penangguhan kes.

Bagi Mahkamah pula, masalah kekurangan bilangan kakitangan Mahkamah Syariah adalah ketara apabila dibandingkan dengan kes yang makin bertambah setiap hari. Misalnya, bailif amat diperlukan kerana pendaftar juga dibebani dengan tugas bailif. Adakalanya pendaftar tiada di mahkmah dan jika seseorang ke mahkamah untuk mendapatkan pengesahan pendaftar bagi suatu afidavit, orang itu terpaksa berulang-alik ke mahkamah semata-mata untuk dokumen tersebut.

 3.7       Kesimpulan
Nafkah merupakan satu proses seperti mengendalikan bahtera. Begitu juga dalam mengendalikan wang, iaitu suami perlu bijak mengaturkan bajet nafkah anak dapat diberikan dengan baik dan cukup untuk keperluan anak-anak.
Sekiranya timbul permasalahan mengenai hak nafkah, cara yang terbaik ialah perundingan di antara suami isteri. Penyelesaian secara perundingan ini menjimatkan masa, tidak menyusahkan anak-anak dan dapat menjimatkan wang kecuali jika tiada pilihan lain barulah di bawa ke Mahkamah Syariah.
Apa yang penting ialah hak itu hendaklah dituntut jika mempunyai alasan yang cukup. Terdapat kes-kes selepas berlaku perceraian, si isteri menunjukkan sikap ego dan sombong terhadap suami. Apabila perceraian berlaku begitu lama barulah menyesal dan mulai bertungkus lumus untuk membuat tuntutan nafkah terhadap anak di bawah tanggungannya.



[1]Dato’ Syeikh Ghazali Hj.Abd.Rahman,1997. Memasuki Gerbang Perkahwinan. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Cet.Ketujuh.Kuala Lumpur:Perpustakaan Negara Malaysia.hlm.61.
[2] Seksyen 73, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Kedah 2008.
[3] Ibid.Seksyen 79.
[4] Temubual bersama Puan Ruzaini Binti Sabu. Penolong Pendaftar Mahakamah Rendah Syariah Kota Setar, Kedah pada 28 September 2010. Jam 2.30 petang.
[5] Enakmen Aturcara Mal Islam 1979
[6] Ibid. Seksyen 53.
[7] Lihat Kamus Undang-Undang
[8] Enakmen Aturcara Mal Kedah 1979. Op.cit.
[9] Enakmen Aturcara Mal Kedah 1979. Op.cit. Hlm 36
[10] Temubual bersama Puan Suhalina Binti Ismail, Setiausaha Mahkamah Rendah Syariah Kota Setar, Aras 1 Bagunan JKSK, 4 Oktober 2010, 3.00-4.30 petang.
[11] Temubual bersama Syeikh Shahmi Bin Awang, Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah Pendang, Aras 1 Bagunan JKSK, 14 Oktober 2010, 10.00-11.30 pagi.
[12] 2007, No:02001-024-0845. Dari Fail Mahkamah Rendah Syariah Kota Setar, Kedah.
[13] 2009, No:02001-024-1906, Dari Fail Mahkamah Rendah Syariah Kota Setar, Kedah.


BAB KEEMPAT

PENUTUP

4.1       Kesimpulan

Mahkamah Syariah ditubuhkan adalah untuk menjaga kepentingan dan kemaslahatan umat Islam. Di Kedah, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Kedah Darul Aman 2008 dijadikan garis panduan bagi pelaksanaan undang-undang Mahkamah Syariah. Mahkamah Syariah mempunyai tiga peringkat iaitu Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan.

Mahkamah Syariah pada pandangan bekas-bekas isteri yang menuntut perintah nafkah anak jelas menunjukkan ketidakadilan kerana kelambatannya. Mereka juga merasakan Mahkamah Syariah lebih memberikan peluang dan tumpuan kepada kaum bapa berbanding kaum isteri. Dan lebih malangnya tanggapan ini dikuatkan lagi dengan paparan berita-berita yang disiarkan oleh media cetak untuk menjatuhkan imej dan kekredibilitian Mahkamah Syariah. Berita-berita begini tentulah mudah dipercayai oleh masyarkat tanpa usul periksa. Lebih-lebih lagi, bagi mereka yang tidak tahu langsung mengenai Mahkamah Syariah.

Agama islam mencakupi kesemua aspek dalam kehidupan ini iaitu dari segi muamalat, munakahat, adab pergaulan dan sebagainya. Ini termasuklah konsep nafkah anak yang berlandaskan syarak di mana ianya telh dijelaskan di dalam Al-Quran dan Hadis. Daripada kajian yang dibuat, jelaslah bahawa memberi nafkah merupakan satu perkara yang menjadi kewajipan ke atas seorang bapa kepada anaknya mengikut kemampuannya serta keadaan dan tempat.

Anak merupakan amanah Allah yang dipertanggungjawabkan ke atas bapa yang memeliharanya. Seseorang bapa perlu tahu hak-hak yang dimiliki oleh seseorang anak dan melaksanakannya dengan sebaik mungkin.

Daripada kajian yang dibuat jelaslah bahawa nafkah anak merupakan satu kewajipan yang dipertanggungjawabkan ke atas bapa terhadap anaknya. Di dalam bab dua, penulis telah mengkaji dengan lebih terperinci mengenai definisi nafkah anak serta dalil-dalil dari Al-Quran dan Hadis mengenai kewajipan tersebut. Apa yang penulis lihat, kewajipan melaksanakan nafkah anak mestilah memenuhi dua syarat yang ditetapkan oleh syarak iaitu dari aspek kemampuan dan juga status anak-anak tersebut.

Manakala di dalam bab tiga pula menfokuskan mengenai statistik bagi tuntutan nafkah anak selepas umur 18 tahun dan penulis mendapati tiada hanya terdapat satu kes sepanjang tempoh 2007 hingga 2010. Penulis berpendapat, permasalahan ini berpunca daripada sikap tidak bertanggungjawab pasangan suami isteri dalam menjaga kebajikan anak-anak.

Selain itu, penulis juga merujuk kepada peruntukan-peruntukan mengenai nafkah anak yang termaktib di dalam seksyen 73, 74,76, 77, 79,78, dan 80, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Kedah Darul Aman bagi membuktikan lagi kesahihan mengenai tuntuan nafkah anak.

4.2       Saranan

Berdasarkan apa yang telah dibincangkan, penulis telah menyarankan beberapa saranan kepada pihak yang terbabit bagi menjelaskan permasalahan yang dibincangkan.

4.2.1.   Mahkamah Syariah

Hukuman yang ditetapakan oleh Mahkamah Syariah perlu berlandaskan syarak dan perlu seimbang dengan mengikut keadaan semasa. Selain itu, usaha daripada pihak Mahkamah Syariah untuk mengadakan kaunseling terhadap bapa sering menghadapi masalah dalam pengabaian nafkah amatlah dialu-alukan. Dengan cara ini, mereka akan menyedari kepentingan nafkah dalam kehidupan berumahtangga.
Mahkamah Syariah juga perlu mensabitkan hukuman yang maksimum terhadap bapa yang sering lalai dalam tanggungjawab memberi nafkah agar mereka tidak memandang remeh mengenai kewajipan dan kepentingan ini.

4.2.2.   Kerajaan

Pihak kerajaan hendaklah memberi peluang dan kebenaran kepada ahli undang-undang dan akademik bagi mengadakan seminar atau ceramah untuk menjelaskan permasalahan nafkah ini kepada masyarakat umum masalah ini amat terhad.

4.2.3.   Media Massa

Pengaruh media massa amat penting dalam sesebuah Negara. Ini kerana pengaruh media massa amat besar dalam pembentukkan masyarakat Islam. Masyarakat banyak terdedah terhadap apa sahaja yang disalurkan oleh media massa.

Dengan bantuan dan pengaruh media massa yang besar ini. Kerajaaan, pengamal undang-undang dan para akademik boleh menyalurkan maklumat tentang tanggungjawab yang perlu ada dalam sesebuah rumahtangga agar masyarakat yang kurang ilmu mengenai kepantingan nafkah akan menjadi lebih prihatin.

4.2.4.   Masyarakat

Masyarakat juga perlu memainkan peranan penting dalam memberikan kerjasama padu dan jitu terhadap usaha yang telah dijalankan oleh kerajaan dan media massa. Terutamanya bagi pasangan suami isteri yang perlu prihatin terhadap permasalahan yang diwawarkan dan merujuk kepada mereka yang arif tentanh permasalahan tersebut sekiranya berlaku. Ini kerana ketidakprihatinan mereka atau tidak mengambil endah terhadap permasalahan ini akan menyebabkan ketidakadilan berlaku.



























2 comments:

  1. Saya sangat bersetuju dengan kajian ini. Sebagai pengamal undang-undang Syariah, saya telah melalui pelbagai kes di Mahkamah Syariah tentang tuntutan nafkah anak. Malangnya, isu penguatkuasaan nafkah menjadi persoalan besar kepada ibu atau penjaga yang mendapat hak nafkah. Oleh itu, kajian tentang penguatkuasaan nafkah harus dibuat kajian untuk memudahkan semua pihak.

    Terima kasih dan tahniah.

    ReplyDelete
  2. sy nk tnya klu ayah sy tidak pernah bagi nafkah semejak umuar sy 7 tahun selepas mak sy bercerai. skrg umur sy dah 23 malah tgh brlaja adakah sy ptuk menuntuk nafkah yg dya tidak pernah bgi. mohon penjelasan

    ReplyDelete